Adalah menjadi impian setiap wanita untuk memiliki suami yang dapat memahami perasaan dan diri mereka semasa mereka sedang sarat mengandung. Ini adalah kerana pada waktu tersebut, keadaan emosi mereka tidak begitu stabil dan memerlukan bantuan dan sokongan padu daripada orang lain terutamanya daripada suami tercinta.
Mungkin masih ramai para suami yang berada di luar sana yang masih lagi tidak berjaya untuk memahami situasi dan keadaan isteri ketika mengandung. Sebagai suami yang soleh dan mithali adalah wajar bagi anda untuk melakukan sembilan (9) perkara di bawah ini ketika isteri anda sedang mengandungkan zuriat anda agar mereka sentiasa ceria dan sihat sepanjang tempoh kandungan yang mencecah sembilan (9) bulan itu.
1. Luangkan masa bersama isteri- Sebagai seorang suami yang mempunyai pelbagai tanggungjawab samada di rumah mahupun di pejabat, sudah tentu adakalanya anda berkemungkinan menjadi terlalu sibuk dengan urusan-urusan yang perlu anda selesaikan.
Usah jadikan ini alasan untuk tidak meluangkan masa anda bersama isteri tercinta. Anda perlulah berusaha sedaya upaya untuk meluangkan masa anda bersama isteri. Wujudkan suasana 'relaks' antara kamu berdua dan keraplah berkomunikasi antara satu sama lain.
Ini kerana pada waktu seperti ini, seorang isteri amat memerlukan perhatian daripada anda. Dengan berada di samping isteri, ia pasti dapat membantu mengurangkan tekanan yang sedang ditanggung oleh mereka.2. Membantu menjaga pemakanan isteri- Seperti yang sedia maklum, pada waktu-waktu seperti ini si isteri biasanya akan mengalami simptom mengidam. Sebagai seorang suami, anda sepatutnya bantu isteri anda dengan cara memenuhi kehendak mereka selagi termampu (selagi makanan yang diidamkan halal, tidak mustahil diperolehi dan sebagainya).
Selain daripada itu, si isteri yang sedang mengandung juga memerlukan makanan yang berkhasiat agar tumbesaran bayi tidak terganggu. Si suami wajar membelikan makanan-makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, yogurt, madu dan lain-lain agar anak di dalam kandungan tersebut mendapat nutrien yang seimbang.
3. Memahami keadaan fizikal mereka- Suami perlu sedar bahawa semasa isteri mereka mengandung, segala pergerakan isteri akan menjadi lebih perlahan daripada biasa. Oleh itu, apabila anda membawa isteri anda keluar untuk bersiar-siar, berjalanlah dengan perlahan untuk menunjukkan bahawa anda memahami situasi isteri anda. Adalah sangat tidak wajar jika anda memarahi mereka hanya disebabkan pergerakan mereka yang lambat.4. Bersikap ringan tulang- Semasa isteri anda sedang sarat mengandung, tidak perlulah anda bertanya mengenai perkara-perkara yang perlu anda bantu Apabila melihat kain yang bertimbun tidak berbasuh, ringan-ringanlah tangan untuk membantu membasuh kain-kain tersebut. Sama juga halnya dengan kerja-kerja rumah yang lain. Ringankanlah beban isteri anda bukan menambahkan beban tersebut dengan membiarkan cawan kopi anda yang tidak berbasuh, surat khabar yang anda baca tidak terlipat dan lain-lain lagi.
5. Belajar psikologi - Isteri yang mengandung akan mengalami perubahan yang besar baik dari segi emosi mahupun fizikal mereka. Suami wajar mengetahui tanda-tanda perubahan ini. Dengan mempelajari ilmu psikologi serba sedikit anda akan lebih bersedia sekiranya isteri anda marah-marah dengan tiba-tiba, menjadi terlalu sensitif, kuat merajuk dan sebagainya.
6. Membantu menyiapkan hidangan- Sekiranya sebelum ini tugas-tugas memasak di dapur hanya dilakukan oleh si isteri semata-mata maka apalah salahnya sekiranya selama sembilan bulan ini si suami belajar untuk menyesuaikan diri berada di dapur. Sekiranya anda tidak memasak sekalipun, anda masih boleh membantu isteri memotong bahan-bahan masakan, menumis dan sebagainya. Ini juga secara tidak langsung akan menjadikan pasangan suami isteri tersebut bertambah mesra antara satu sama lain.
7. Membantu menjaga anak-anak yang lain- Ini adalah peluang keemasan untuk anda sebagai suami dan ayah menghabiskan banyak masa untuk anak mereka. Jangan sesekali melepaskan peluang ini. Ia adalah cara terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan anda dan anak.
8. Membawa isteri pergi ke mana-mana- Pada waktu ini, sebaiknya jangan biarkan isteri anda memandu seorang diri. Lebih-lebih lagi sekiranya usia kandungan telah mencecah enam bulan dan ke atas. Sebaiknya anda korbankan masa dan tenaga untuk menjadi pemandu kepada isteri anda dan bawalah mereka pergi membeli barang dapur, baju bayi dan sebagainya.
9. Menabung dari awal- Perkara yang ini anda perlu bersedia dari awal lagi. Kukuhkan kedudukan kewangan anda agar tidak ada masalah yang timbul di kemudian hari. Maklumlah harga-harga barangan, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan sekarang sudah semakin mahal. Setiap kali harga petrol naik dah sah-sah harga-harga barang lain pun akan turut naik bukan? Oleh itu, bagi yang baru mendirikan rumah tangga dan yang masih belum berkahwin tu, elok-eloklah menabung seringgit sehari mulai sekarang. Kalau lebih, itu jauh lebih baik.
No comments:
Post a Comment